LAHAD DATU: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan kes membabitkan 13 pelajar lelaki kolej vokasional di sini yang berhadapan pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki di kolej sama pada Mac lepas dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Tawau.

Majistret Nur Asyraf Zolhani membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao mengikut Seksyen 177A(1) Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, tarikh sebutan di Mahkamah Tinggi itu belum ditetapkan.

Prosiding itu dijalankan secara tertutup kerana kes itu melibatkan pesalah di bawah umur.

Pada 2 April lepas, 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan secara bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 24 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sembilan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh, Amirul Amin Rashid dan Chen Wen Jye, manakala seorang remaja diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan tiga lagi tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Kamarudin ketika ditemui di luar mahkamah berkata pihak pendakwaan mendapat izin untuk mendakwa dan rekuisisi daripada Pejabat Peguam Negara untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Tawau.

"Di samping itu, kita juga memohon atas permintaan ibu bapa supaya remaja ini direman di Penjara Lahad Datu bukan di Tawau bagi memudahkan sesi lawatan," katanya.

Pada 22 Mac lepas, Mohamad Nazmie Aizzat ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan kesan kecederaan serta lebam di beberapa bahagian tubuh di sebuah bilik asrama kolej itu.

-- BERNAMA