PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepaskan dan membebaskan bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki daripada tuduhan membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, enam tahun lalu.

Keputusan itu dibuat panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim serta Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Vazeer Alam berkata, ia berikutan pihaknya mendapati pasukan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Menurutnya, dalam konteks ini, Mahkamah Tinggi betul dalam penemuan bahawa kegagalan dalam menentukan masa kematian mangsa.

"Maka teori orang terakhir dilihat (bersama CEO itu) tidak boleh digunakan.

"Tambahan lagi kita tidak menemui sebarang motif (pembunuhan Nazrin). Malah, pihak pendakwaan tidak kemukakan sebarang bukti motif responden (ketiga-tiga tertuduh) membunuh mangsa," katanya.

Dalam pada itu, Vazeer Alam  memberitahu, dakwaan bahawa mangsa mahu menceraikan Samirah kerana isu kewangan dan hubungan tidak baik mangsa dengan responden kedua serta ketiga (dua remaja itu) juga tidak jelas serta samar.

Samirah, 48, dua anaknya yang berusia 18 dan 21 tahun, serta seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya di antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga jam 4 pagi pada 14 Jun 2018.

Pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan Samirah bersama dua remaja terbabit selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.


Samirah, 2 remaja lelaki kekal bebas

"Kami terima dengan reda, doakan kami kuat.." - Kakak Allahyarham Nazrin