Peserta program motivasi yang melibatkan tindakan berbogel di kawasan terbuka tidak wajar dipersalahkan, kata Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor.

Menurut Mohamad, fasilitator program yang dianjurkan sebuah syarikat mengaku aktiviti yang dilakukan terlampau dan melebihi had.

Jelasnya, tindakan berbogel itu adalah sebahagian daripada program yang bernama 'All Out.'

"Peserta di dalam program tersebut disarankan supaya menjalankan apa-apa sahaja arahan fasilitator.

"Mereka diarahkan untuk membuat satu garisan lurus dengan apa yang ada.

"Namun apabila mereka tidak mempunyai sebarang barang yang boleh digunakan, jadi pakaian mereka ditanggalkan untuk membentuk satu garisan lurus tersebut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.


Bogel 'all out' fasilitator melampau

Semalam seramai 48 individu ditahan kerana terlibat program motivasi yang melibatkan tindakan berbogel di kawasan terbuka anjuran sebuah syarikat di padang permainan di sebuah pusat peranginan di Bentong.

Sebanyak 39 daripadanya merupakan peserta program yang terdiri daripada lelaki berusia antara 19 hingga 23 tahun.

Sementara baki sembilan individu yang ditahan merupakan wakil syarikat terbabit.

BACA JUGA: Pelancong bogel di Gunung Kinabalu dihukum penjara, denda

VIDEO: Pelancong mengaku bersalah bogel di Gunung Kinabalu


Menurut Mohamad, pelajar yang menyertai kursus tersebut berumur antara 19 sehingga 23 tahun, dan dihantar oleh ibu bapa.

Jelasnya lagi, ibu bapa mereka yang terlibat turut terkejut dengan program motivasi tersebut.


Saran kes bogel 'All Out' dibawa ke mahkamah

Mohamad juga berkata pihak pusat peranginan yang menjadi lokasi program motivasi tersebut tidak mempunyai kaitan dengan kursus terbabit.

“Menurut catatan kami, pihak pusat peranginan tidak tahu mengenai kursus itu," katanya.