KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU) yang didakwa dipukul seorang anggota pengiring orang kenamaan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.


Ringkasan AI
  • Kertas siasatan melibatkan seorang pemandu e-hailing OKU yang didakwa dipukul seorang anggota pengiring orang kenamaan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
  • Walaupun mangsa dalam kes ini telah menarik laporan, namun hasil sambungan percakapan mendapati pengadu masih berminat dan ingin meneruskan kes ini.
  • Polis telah memanggil 12 individu termasuk mangsa, pekerja hotel, dan pengawai juruiring kepada orang kenamaan terbabit untuk memberi keterangan berhubung kes.


Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, untuk melengkapkan siasatan itu, polis telah memanggil 12 individu termasuk mangsa, pekerja hotel, dan pengawai juruiring kepada orang kenamaan terbabit untuk memberi keterangan berhubung kes.

“Kita sudah lengkapkan kertas siasatan dan ia sudah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam (Selasa) untuk tindakan seterusnya.

“Walaupun mangsa dalam kes ini menarik laporan pada asalnya, namun hasil sambungan percakapan mendapati pengadu masih berminat dan ingin meneruskan kes ini,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Razarudin memberitahu, hasil semakan juga mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod kesalahan tatatertib sebelum ini.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi termasuk mengaitkan kes tersebut dengan Institusi Diraja.

Kes tersebut turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, yang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Tunku Mahkota Ismail juga bertitah, tidak sesekali membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang berlaku.

Sebelum ini, pemandu kenderaan e-hailing OKU mendakwa dipukul seorang pengawal pengiring rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara, namun dia menarik balik laporannya pada hari yang sama.

Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala ketika diminta untuk mengalihkan kenderaannya.

Susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketika membuat laporan, telefon bimbit dan kamera papan pemuka keretanya yang dipercayai merakam kejadian itu dirampas oleh polis.