BANDAR BAHARU: Ahli keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin diminta untuk membuat laporan kepada pihak polis sekiranya berasa terancam susulan dakwaan kebocoran kertas siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu di media sosial.


Ringkasan AI
  • Keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin, kanak-kanak autisme yang dibunuh, diminta membuat laporan polis jika berasa terancam susulan dakwaan kebocoran kertas siasatan di media sosial.
  • Menteri Dalam Negeri menekankan tanggungjawab polis untuk memastikan keselamatan semua pihak dan menjalankan siasatan mengikut undang-undang tanpa gangguan.
  • Polis telah menerima dua laporan berkaitan kebocoran kertas siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan, ini kerana, adalah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk memastikan keselamatan semua pihak terjamin, termasuk ibu bapa Zayn Rayyan, agar siasatan terhadap kes berkenaan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Beliau menjelaskan bahawa pihak polis tetap akan mengumpulkan maklumat secara profesional memandangkan kes yang berlaku ini adalah berprofil tinggi serta perkembangan terkini membabitkannya dianggap sebagai memeranjatkan sesetengah pihak.

Tambahnya, siasatan yang dijalankan polis dalam kes terbabit juga dijamin mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

"Dalam masa yang sama, kalau ada pihak dalam kes itu, katakan (di sini) keluarga (Zayn Rayyan) atau sebagainya (pihak-pihak lain), salurannya adalah pihak polis, 

"Kalau keluarga rasa terancam dan sebagainya, mereka kena laporkan kepada pihak polis, itu fungsi dan tugas hakiki pihak polis," katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika sidang media selepas Program Jiwa Komuniti Madani peringkat Parlimen Kulim Bandar Baharu di Kompleks Sukan Komuniti Bandar Baharu pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian terutama di media sosial memandangkan ianya boleh menjejaskan siasatan yang dilakukan pihak polis.

Terdahulu, polis menerima dua laporan berhubung kebocoran kertas siasatan didakwa berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan polis berkenaan masing-masing dibuat oleh ahli keluarga Zayn Rayyan dan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes pembunuhan itu.

Semalam, keluarga Zayn Rayyan membuat laporan polis berhubung kandungan siasatan yang tular di Telegram Edisi, kononnya pembunuhan itu dilakukan ibu bapa kanak-kanak autisme itu.

Peguam, Fahmi Abd Moin berkata, laporan itu dibuat adik lelaki  Zaim Ikhwan Zahari di Balai Polis Sungai Buloh, dekat sini pada petang Jumaat.

Memetik laporan itu, beliau memberitahu, maklumat yang tersebar itu berbaur fitnah dan melanggar gag order perintah larangan yang dikeluarkan mahkamah pada Khamis serta bersifat subjudis terhadap ibu dan bapa.