Kerjasama serantau diperlukan untuk mengatasi isu jerebu kerana ia memberi kesan buruk kepada pelbagai sektor termasuk pertanian dan pelancongan seterusnya membawa kerugian besar kepada negara.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi Fizikal Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Fredolin Tangang berkata ia adalah isu serantau yang memerlukan campur tangan semua negara.

"El Nino pada 1998 seperti kes ini. Kerugian dialami seluruh rantau ini lebih kurang US$4 bilion. Setiap kali fenomena jerebu teruk seperti kali ini memang memberi impact. Terutama aspek pelancongan. Kapal-kapal kita tak boleh terbang. Pelancong kita terkesan. El Nino ini tak boleh dihentikan," kata Fredolin dalam satu temuramah di Analisis Awani pada Selasa.

Tambah beliau, isu jerebu ini perlu diberi penekanan oleh negara serantau kerana selain sektor ekonomi ia juga menjejaskan kesihatan orang awam.

Fenomena El Nino dan jerebu yang berlaku sekaligus diburukkan lagi dengan pembakaran secara terbuka di indonesia yang memberi kesan kepada Malaysia dan Singapura.

Katanya, rantau Asia Tenggara mengalami cuaca kering dan taburan hujan yang kurang bermula jun sehingga awal November ini akibat fenomena El Nino.

Menurut dr fredolin masih belum terlambat untuk negara menggunakan kajian yang dilakukan oleh pakar klimatologi dan mengambil langkah pencegahan segera.