Kerjasama itu diperkasa menerusi penubuhan Asia Cage-Free Association Alliance (ACFAA), menjadikannya gabungan pertama di rantau ini yang mempromosikan peternakan telur bebas sangkar.
Penasihat Pertubuhan Pengeluar Telur Bebas Sangkar Malaysia dan Penasihat Kanan, Kebajikan Haiwan Ladang, Polisi dan Penglibatan Korporat, Humane Society International, Dr Saravanakumar S Pillai berkata, inisiatif itu akan membantu mempercepatkan peralihan industri penternakan ke arah amalan yang lebih beretika dan bertanggungjawab.
Menurutnya, dengan pelancaran gabungan ini, PPTBSM membuka lembaran baharu dalam industri penternakan Malaysia, mengukuhkan komitmen negara terhadap amalan penternakan yang lebih etika, berdaya maju dan mesra alam.
"Asia Cage-Free Association Alliance menjadi titik permulaan penting dalam mendorong perubahan ke arah pengeluaran telur yang lebih mesra haiwan dan lestari, selaras dengan inisiatif global ke arah penternakan beretika dan mampan.
"Pengeluaran telur bebas sangkar bukan sahaja memenuhi permintaan pasaran yang semakin mengutamakan aspek etika, tetapi juga menyumbang kepada ekosistem yang lebih seimbang dan mesra alam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran PPTBSM di ibu negara baru-baru ini.
Dalam majlis yang sama, penubuhan gabungan ACFAA ditermeterai menerusi Momerendum Persefahaman (MoU) antara PPTBSM dan Persatuan pengeluar telur bebas sangkar Malaysia, India dan Indonesia.
Usaha itu bertujuan untuk melengkapkan usahasama antara Persatuan pengeluar telur bebas sangkar Malaysia, India dan Indonesia di rantau ini.
Turut terteterai kerjasama strategik antara Ladang Ternakan Prudence dan Hellmann Poultry Equipment dari Belanda bagi membina dua reban avairi pemeliharaan anak ayam bebas sangkar baharu dan lapan reban avairi ayam penelur bebas sangkar di Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi PPTBSM, Shunmugam Sethuraman menyifatkan pelancaran penggabungan itu membuka lembaran baharu dalam industri pengeluaran telur di Malaysia, seterusnya mengukuhkan komitmen negara terhadap amalan penternakan yang lebih etika, berdaya maju dan mampan.
Kata beliau, langkah penggabungan itu adalah sejajar dengan usaha memperkukuh kelestarian industri penternakan.
Menurutnya, telur yang dihasilkan oleh ayam yang dibela dalam persekitaran yang lebih luas dan bebas bergerak, dapat mempamerkan tingkah laku semula jadi serta meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran telur.