KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan lima syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih utama bersetuju untuk berkongsi kos bagi menyelesaikan isu menara tanpa 'kuali' di Sarawak, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications akan berkongsi kos yang perlu dibayar kepada pengendali menara untuk menyediakan perkhidmatan 4G.

Beliau berkata pembiayaan kerajaan Persekutuan dan syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih melibatkan jumlah tidak melebihi RM207 juta iaitu RM119.4 juta oleh kerajaan Persekutuan selain RM87.3 juta oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan bagi tempoh tiga tahun bermula tahun depan hingga 2026.

"Pengoperasian menara-menara ini bagi penyediaan perkhidmatan 4G adalah secara berperingkat dan akan bermula seawal Januari 2024," katanya menjawab pertanyaan Chiew Choon Man (PH-Miri) berkaitan tindakan bagi mengatasi isu menara tanpa kuali di Sarawak di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata kementeriannya akan membentangkan satu kertas di Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan hari ini untuk memulakan perbincangan dengan semua kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu-isu terkait pembinaan menara telekomunikasi di seluruh negara.

Berkaitan isu 196 menara telekomunikasi di seluruh negara yang terpaksa menunggu sehingga sembilan bulan bagi pemasangan gentian optik, Fahmi berkata beliau telah mengarahkan pemasangan Microwave pada semua menara berkenaan bagi memastikannya dapat beroperasi dengan kadar segera.

-- BERNAMA