KUALA LUMPUR: Kerangka digital yang dikaitkan dengan dasar negara membawa matlamat besar yang tidak pernah dijangka sebelum ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Ini kerana, kata Perdana Menteri, ketika beliau menerajui Kementerian Kewangan lebih 20 tahun lalu, industri pendigitalan hanya dianggap sebagai satu permulaan dan bukan kemestian.

"Tetapi ia (kini) telah menjadi suatu kemestian. Ini dikatakan pemerdayaan. Mengangkat keupayaan kita dan mengharapkan, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, yang didorong oleh digital.

"Ini sekali lagi saya tekankan mengapa kita di antara beberapa negara awal di dunia yang meletakkan satu Kementerian Digital, kerana ini penentuan untuk menjayakan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran National Ai Office (NAIO), di MITEC, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Ketua NAIO Shamsul Izhan Abdul Majid.

Tambah Anwar, pemerdayaan digital harus bermula dengan peningkatan kecelikan digital dan seterusnya usaha memperkasakannya.

"Dahulu kita kata kecelikan dari segi pendidikan asas. Kemudian kita rasa, sekarang ini, digital literacy atau kecelikan digital itu sudah menjadi kemestian.

"Dari sekolah rendah hingga universiti, bagi peringkat pengurus, kita minta supaya melangkau dari batas-batas peraturan demokrasi yang ada," katanya.