Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memberi amaran keras kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas keracunan kerang-kerangan yang berlaku di perairan Sabah.

“Kami akan mengambil tindakan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dalam cuba mengimport kerang-kerangan beracun ini keluar dari Sabah termasuk membawa masuk ke Semenanjung dan Sarawak.

“Semua jenis makanan mempunyai tahap keselamatan. Ini dipantau oleh bahagian keselamatan makanan di bawah kementerian.

“Jika makanan tersebut telah dicemar oleh racun, pihak kementerian boleh melarang penjualan jenis bahan makanan berkenaan,” jelas Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam sewaktu dihubungi Astro AWANI.

Menteri Kesihatan turut memaklumkan pihak kementeriannya sentiasa menjalankan pemantauan berterusan.

“Kami mempunyai pasukan untuk menjalankan pemeriksaan, menghalang dan memastikan rakyat tidak mengambil bahan makanan yang boleh membahayakan kesihatan.

“Hal ini turut memerlukan kerjasama pelbagai agensi seperti kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Alam Sekitar untuk bekerjasama dalam menjalankan pemantauan,” ujar Subramaniam.

Kementerian berkenaan turut menasihatkan penduduk setempat agar tidak mengambil makanan yang dicemari toksik.

“Pada masa sekarang, penduduk kawasan terjejas jangan mengambil makanan laut berkerang sehinggalah pihak berkuasa memberi jaminan makanan berkenaan selamat dan bebas daripada racun,” tambah Menteri Kesihatan.

Jabatan Perikanan Sabah pada Jumaat memberi amaran kepada penduduk di negeri itu supaya tidak memakan kerang berhubung kandungan toksin yang tinggi ekoran fenomena air laut merah di Sabah.

Fenomena berkenaan mula melanda pantai barat Sabah sejak tahun lalu dan dijangka berlarutan dalam masa sebulan lagi.

Paras toksik hidupan laut berkerang masih tinggi iaitu pada bacaan 700 Mouse Unit (MU) berbanding paras yang selamat bagi manusia iaitu di bawah 400 MU.

New Strait Times semalam melaporkan tiga mangsa telah meninggal dunia di Sepanggar dan Inanam awal tahun ini yang dipercayai akibat memakan kerang yang diperoleh dari kawasan perairan Sepanggar pada Januari lalu.