KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin dapat mencapai unjuran pertumbuhan 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun penuh 2023 di sebalik cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta pelaksanaan langkah Belanjawan 2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengutamakan untuk menangani cabaran ekonomi harian yang dihadapi oleh rakyat sambil menumpukan usaha mengurangkan ketirisan dan menangani rasuah.

Mengenai prestasi ekonomi Suku Pertama 2023, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata ia disokong oleh pertumbuhan menyeluruh merentas semua sektor terutamanya sektor perkhidmatan dan pembuatan yang masing-masing berkembang sebanyak 7.3 peratus dan 3.2 peratus.

"Pengembangan ekonomi juga disokong oleh permintaan domestik yang mampan terutamanya perbelanjaan swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih baik dari jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 dipacu terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata ekonomi Malaysia tumbuh 5.6 peratus pada suku pertama, lebih baik berbanding pertumbuhan negara serantau lain seperti Indonesia (5 peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus).

"Prestasi pertumbuhan Suku Pertama 2023 menyumbang kepada sasaran untuk mencapai pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun 2023 antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus," katanya.

Menurut kementerian tersebut, pertumbuhan suku pertama itu juga lebih baik berbanding Suku Pertama 2022 iaitu sebanyak 4.8 peratus manakala dari segi pelarasan musim suku tahunan, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus pada Suku Pertama 2023 berbanding penguncupan 1.7 peratus pada Suku Keempat 2022.

Pasaran buruh terus mencatatkan momentum pertumbuhan pada Suku Pertama 2023, mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran pada 3.5 peratus daripada 3.6 peratus pada Suku Keempat 2022.

"Kadar inflasi pada Suku Pertama 2023 menyederhana kepada 3.6 peratus berbanding 3.9 peratus pada Suku Keempat 2022, antara lainnya, berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi kepenggunaan oleh kerajaan

"Kadar inflasi domestik terus mencatatkan trend penurunan kepada 3.4 peratus iaitu lebih rendah berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti United Kingdom (10.1 peratus), Filipina (7.6 peratus), Singapura (5.5 peratus), serta Amerika Syarikat dan Indonesia (5 peratus)," katanya.

Bagaimanapun, selari dengan unjuran prospek pertumbuhan ekonomi dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, Kementerian Kewangan berkata, pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka menyederhana pada 2023 berikutan permintaan luar yang lebih perlahan akibat daripada kelembapan perdagangan global.

"Ketegangan geopolitik, tekanan harga yang tinggi dan kekangan keadaan kewangam juga akan terus menjejaskan prospek ekonomi dunia," katanya.

Menurut kementerian itu lagi, perkembangan dalam negara seperti iklim ekstrem yang mencetus fenomena gelombang haba dan musim El Nino yang diramal bermula pada Jun 2023, dijangka mempengaruhi aktiviti ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian dan pembinaan.

-- BERNAMA