KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin ekonomi negara masih tetap mencapai unjuran rasmi kadar inflasi dan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini walaupun dengan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan kadar inflasi antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus serta pertumbuhan KDNK antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus pada tahun ini.

"Pendekatan penyasaran semula subsidi diesel yang diambil iaitu menyediakan diesel bersubsidi kepada sektor logistik dan bantuan tunai bulanan kepada individu akan mengurangkan tekanan ke atas harga barang pengguna dan impak kepada rakyat," katanya pada Sesi Penerangan Menteri mengenai Pelaksanaan Penyasaran Semula Subsidi Diesel di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion walaupun penjimatan dianggarkan sebanyak RM4 bilion setahun daripada penyasaran semula subsidi diesel.

Beliau berkata ini untuk menampung subsidi di Sabah dan Sarawak, subsidi untuk sektor pengangkutan awam dan sektor logistik Semenanjung Malaysia, bantuan tunai untuk pemilik kenderaan individu dan pengusaha kecil agri-komoditi serta subsidi diesel nelayan.