TUMPAT: Kerajaan tidak menafikan hak rakyat di Kelantan walaupun ia adalah negeri pembangkang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata biarpun terdapat perbezaan politik, namun rundingan dan perbincangan sentiasa dilakukan bagi memberi peruntukan terutama dalam soal keagamaan dan kebajikan.

"Rundingan yang baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sangat diperlukan untuk membantu rakyat.

"Apabila saya menjadi Perdana Menteri, saya tak mahu zalim, nafikan hak rakyat dan buat tuduhan palsu untuk sumbat orang dalam penjara, walaupun itu sudah saya lalui, jadi sekarang ini kena runding molek-molek apa yang boleh diselesaikan, kita selesaikan, jangan membebankan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Perdana Menteri bagi Projek Menyiapkan Masjid At-Taqwa Alor Pasir di sini, hari ini.

Pada majlis itu Perdana Menteri menyampaikan peruntukan RM7.76 juta untuk projek menyiapkan Masjid At-Takwa Alor Pasir.

Anwar berkata Kelantan menjadi antara negeri menerima peruntukan paling besar dalam Belanjawan MADANI.

"Isu bekalan air dan banjir turut diutamakan kerana ia melibatkan rakyat, malah peruntukan sejumlah RM103,863,258 turut disalurkan kepada golongan imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.

"Dalam Belanjawan MADANI, semua projek diteruskan antaranya tadahan air, naik taraf jalan Pak Badol ke Melor, pembinaan Jambatan Palekbang termasuk beberapa projek baharu Sungai Golok," katanya.

Belliau berkata selain itu keperluan peruntukan sekolah agama rakyat (SAR) yang pernah dihentikan pada 1999 akan dikaji semula tanpa memilih mana-mana kelompok dan biar sama rata kerana menurutnya institusi itu ada peranannya.

-- BERNAMA