Beliau berkata peruntukan RM16 bilion yang diumumkannya untuk negeri itu pada Pesta Kaamatan 31 Mei lepas adalah peruntukan keseluruhan untuk Sabah bagi tahun ini, namun ia tidak melibatkan beberapa perkara lain.
"Peruntukan pengurusan, pembangunan seluruhnya RM16 bilion saya dah baca (dan) teliti... jangan politikkan perkara itu, kalau nak lagi, bincang secara elok.
"Saya dah terangkan (peruntukan untuk) pengurusan, pelaksanaan, operating, expenditure, itu harus ada, dan saya masukkan kesemuanya (namun), itu pun tak masuk beberapa hal lagi seperti (lebuh raya) Pan Borneo dan beberapa projek yang lain," katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Penjaja Tanglin di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustapa.
Sebelum ini Pengerusi Perikatan Nasional Sabah Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mendakwa kenyataan Anwar berhubung peruntukan untuk Sabah mengelirukan kerana tidak mengambil kira bahawa Sabah berhak mendapat tambahan 40 peratus daripada hasil persekutuan dan cukai yang diperolehi dari negeri itu.
Perdana Menteri bagaimanapun menyelar dakwaan itu dan tindakan Kiandee itu dilihat seolah-olah cuba mempolitikkan isu tersebut.
"(Sekarang) nak jadi champion (Ronald Kiandee), dulu (ketika menjadi kerajaan) tidak pulak... oleh kerana dekat PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah, main sentimen tu. Dalam politik tak apa tapi mencerca itu tak betul, tipu kenyataan, ini politik apa?
"Jangan jadi politik picisan.... pada hal masa ada kuasa dulu kamu diam...mana dia MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) masa kamu berkuasa? Sekarang kita bincang, laksanakan sebanyaknya - kuasa, tenaga, pendidikan, kesihatan, tambahan peruntukan, semua sekarang," katanya.
-- BERNAMA