SUBANG JAYA: Kerajaan akan mempergiatkan kolaborasi strategik bersama syarikat swasta dalam menganjurkan program bagi memupuk perpaduan masyarakat di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata kerjasama tersebut adalah sebahagian daripada langkah penting dalam merapatkan jurang antara rakyat pelbagai kaum dan agama serta memupuk nilai-nilai Madani yang menjadi teras kepada pembinaan Komuniti Rahmah.

"Kalau kita ingin mengadakan program yang melibatkan masyarakat berbilang kaum, kita perlu juga babitkan syarikat-syarikat besar yang secara tidak langsung dapat mempromosikan produk mereka.

"Harapan kita supaya syarikat-syarikat besar ini dapat membantu kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Mydin Kongsi Meriah sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Menurut Aaron sebanyak 661 program yang bertujuan mewujudkan platform dan tapak integrasi bagi meningkatkan interaksi sosial antara rakyat telah dilaksanakan pada tahun lepas dan pihaknya menyasarkan untuk melangkaui angka tersebut pada tahun ini.

Pada majlis hari ini, Aaron menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) atas pencapaian syarikat pasar raya itu mengedarkan dan mencantumkan lebih 100,000 kraf naga kertas sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Turut hadir Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze serta Pengarah Eksekutif Mydin Datuk Murad Ali Mydin dan Ahimmat Mydin.

-- BERNAMA