PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberikan satu hari cuti tambahan kepada pelajar Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM), sempena sambutan Hari Deepavali yang akan disambut pada 31 Okt, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, beliau berkata, bagi ILJTM di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, cuti tambahan ialah pada 30 Okt, manakala ILJTM di negeri-negeri lain pada 1 Nov.

"Memandangkan terdapat 1,500 orang pelajar India di ILJTM, Kesuma (Kementerian Sumber Manusia), bersetuju memberikan satu hari cuti tambahan kepada semua pelajar ILJTM.

"Cuti panjang selama empat hari dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh semua pelajar ILJTM khususnya pelajar India yang beragama Hindu, bagi menyambut perayaan Hari Deepavali bersama keluarga," katanya.

Bagaimanapun, bagi mencapai dan mencukupkan jam latihan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP), Steven Sim berkata, kelas gantian perlu diadakan mengikut tarikh yang bersesuaian sebelum berakhirnya semester latihan.

31 Okt 2024 telah diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am Persekutuan sempena Hari Deepavali di Malaysia. - BERNAMA