Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Borhan Aman Shah berkata, muzium berkenaan akan mempamerkan pelbagai jenis tekstil tradisional dari negeri itu yang berstatus tinggi seperti telepuk, kelingkan, songket dan Batik Selangor.
"Buat masa ini, kita masih lagi mencari lokasi bersesuaian dan ia perlu dilakukan dalam kadar segera kerana peruntukan telah diluluskan oleh kerajaan negeri.
"Muzium itu nanti akan dilengkapi dengan rumah tenun, selain disediakan pelbagai aktiviti berkaitan antaranya mencanting batik," katanya kepada pemberita selepas melawat Kilang Batik Yaring dan Barahom Barzaar, di sini, bersempena dengan program Silang Budaya Selangor dan Thailand 2024.
Program Silang Budaya ialah program tahunan bermula tahun lepas, membabitkan lawatan kerja ke negara anggota ASEAN terpilih bagi memperkenalkan dan mempromosikan seni dan budaya Selangor pada peringkat antarabangsa.
Tahun ini, program itu diadakan di Thailand khususnya di Wilayah Songkhla, Pattani dan Narathiwat bagi mengeratkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak menerusi pemerkasaan budaya, seni dan warisan.
Dalam pada itu, Borhan berkata, pihaknya turut bercadang mengadakan pertandingan berkaitan rekaan Batik Selangor kepada semua peringkat usia sebagai usaha memperkenalkan dan mempromosikan Batik Selangor dengan lebih meluas.
Beliau berkata, Batik Selangor tampil dengan motif corak bunga tanjung kelopak sembilan sebagai simbolik sembilan daerah sekali gus menjadi identiti kepada negeri berkenaan.
"Kita berharap dengan penganjuran seperti ini akan membuka peluang dan ruang seterusnya menambah minat mereka untuk menceburi pembuatan batik sekali gus melahirkan pembuat batik dari Selangor," katanya.
Bahkan, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) juga katanya, telah dipertanggungjawabkan untuk mengadakan bengkel dan seminar kepada peminat dan usahawan batik di negeri itu.
"Kita mahu Batik Selangor menjadi batik kebanggaan negeri," katanya sambil memberitahu pihaknya juga dalam perbincangan dengan sebuah syarikat penerbangan tempatan bagi membawa misi mempromosikan batik Selangor. - BERNAMA