KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan memuktamadkan jumlah peruntukan serta geran tahunan kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak pada Isnin ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili.

Menurutnya, keputusan itu akan diputuskan Jawatankuasa Perundingan Bersama yang telah mengadakan beberapa rundingan.

"Ada mesyuarat pada Isnin di Kota Kinabalu untuk memuktamadkan keputusan sebelum diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Isnin ini.

"Harapan kita ialah ada tuntutan yang dibuat oleh Sabah dan Sarawak boleh dipersetujui Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Sebelum ini, jawatankuasa tersebut ditubuhkan untuk
mengkaji peruntukan undang-undang berkaitan hal kewangan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Antara peranan jawatankuasa itu yang ditubuhkan tahun lalu adalah untuk meneliti pengiraan dan pembayaran geran tahunan dan geran lain seperti yang termaktub di bawah MA63 termasuk pembayaran sebelumnya.

Pemberian peruntukan khas kepada Sabah dan Sarawak termaktub dalam Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pertemuan yang sama, kedua-dua pemimpin turut berbincang agenda ekonomi sempadan, yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Khas MA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob pada 24 Februari depan.

"Isu lain termasuk kemiskinan, dan perkara berkaitan sosioekonomi lain seperti  jalan raya,  infrastruktur kesihatan dan pendidikan.

"Dalam pertemuan ini kami turut membincangkan ekonomi sempadan, terutama penubuhan ibu kota Indonesia baharu di Kalimantan (Nusantara), yang sedang berjalan dan isu keselamatan," katanya.

Selain menyelesaikan isu-isu yang tertunggak sebelum ini, mesyuarat kelak akan berbincang tentang susulan Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, yang akan dibentangkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Awang Tengah ketika sidang media yang sama turut meraikan pertemuan bersemuka dengan Ongkili.

"Kita akan berusaha menyelesaikan isu-isu berbangkit yang belum selesai.

"Kita yakin ia boleh dicapai, kerana sejak pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri hingga kepada Ismail Sabri, kita telah mencapai banyak persetujuan," ujarnya.

Awang Tengah berkata, antaranya termasuklah pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) yang kini memasukkan semangat MA63 dan Laporan Antara Kerajaan (1963) yang dipersetujui sebelum penubuhan Malaysia.