PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak pernah mengarahkan pihak berkuasa untuk menyiasat mana-mana individu yang memberi kritikan terhadap Perdana Menteri atau kerajaan.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kritikan adalah dibenarkan dalam sistem demokrasi.

Begitu pun, Anwar menambah adalah tidak wajar untuk mempertikaikan keabsahan Kerajaan Perpaduan yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

"Ini terkait juga dengan keputusan pihak keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya untuk melakukan siasatan.

"Saya ingin bezakan pertama ia bukan arahan PM atau kerajaan, ini adalah ketetapan dalam Perlembagaan dan kenyataan tegas oleh Raja-Raja Melayu yang buat kenyataan kewaspadaan terhadap memainkan sentimen perkauman dan juga sikap pelampau agama dan arahan itu adalah daripada Raja-Raja Melayu untuk mematuhi semangat Perlembagaan.

"Ini tidak boleh disamakan dengan kritikan kepada PM atau kerajaan, dan saya tidak pernah mengarahkan malah memberitahu Ketua Polis Negara bahawa kritikan terhadap PM atau kerajaan itu dalam sistem demokrasi dibenarkan dan diizinkan seperti mana saya juga akan menggunakan ruang untuk menjawab," kata Perdana Menteri dalam sidang media di sini pada Isnin.

Hadir sama, dua timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengulas lanjut, Anwar berkata sudah tiba masanya untuk semua pihak menerima kenyataan dan tidak mempertikaikan wewenang serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

"Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan kuasa wewenang yang ada dalam Perlembagaan untuk melantik Perdana Menteri, walaupun diperaku oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai 115.

"Tetapi belum tempoh yang ditetapkan pada jam 2 petang di mana keesokan sembilan daripada ahli Parlimen UMNO telah tarik (sokongan) dan pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah beri perakuan kepada kebijaksanaan Agong untuk memutuskan," katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil memaklumkan Perdana Menteri telah mengarahkan polis mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat fitnah atau mengeluarkan kenyataan keterlaluan sehingga boleh mengancam keharmonian negara.

Perkara itu, katanya dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

"Beliau ada menzahirkan bahawa beliau tak berhasrat mengambil apa-apa tindakan kepada mereka yang memberi kritikan sama ada terhadap 'capal', selipar dan sebagainya.

"Tetapi kita menetapkan batas kepada elemen-elemen seperti fitnah tuduhan ejen Israel dan beliau telah meminta pihak polis mengambil tindakan," katanya memetik laporan media.