KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu memfokuskan kepada empat strategi pemulihan negara, iaitu mempertingkatkan komunikasi, perbanyakkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak, memvaksinasi warga asing dan pengurusan vaksinasi, kata Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus.     

Ujarnya, dengan kadar suntikan yang sudah melepasi 50 peratus, kini kerajaan perlu fokus kepada mereka yang selebihnya dan harus mempertingkatkan strategi yang sedia ada.

Tambahnya, strategi komunikasi harus dipertingkatkan khususnya buat mereka yang belum divaksinasi dan di kawasan pendalaman agar tidak ada yang terpinggir sekali gus membantu mempercepatkan sasaran majoriti rakyat divaksinasi.

"Contohnya Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak. Langkah ini harus dipertingkatkan dan diperbanyakkan di seluruh negara, dengan tidak hanya fokus di Lembah Klang tetapi juga di negeri-negeri lain yang kita lihat peningkatan kes jangkitan COVID-19 mendadak", katanya kepada Astro AWANI, pada Selasa. 
  
Seterusnya, kerajaan juga harus mula memberi tumpuan kepada warga asing untuk mendapatkan vaksinasi kerana golongan itu bekerja dalam sektor ekonomi yang melibatkan sektor 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

"Ini telah dilakukan dengan agak jayanya di kawasan Lembah Klang, di mana mereka yang telah berdaftar,  dibenarkan untuk mengambil vaksin. Ini harus dipertingkat serta diperluaskan lagi di negeri-negeri lain.

"Selain itu, beliau turut berkata, tidak cara lain untuk menewaskan pandemik ini selain daripada memberikan suntikan vaksin ini kepada semua yang berada di sekeliling, jadi ini termasuklah warganegara dan mereka yang bukan warganegara", katanya.  

Faizal turut menegaskan, perlunya ada strategi yang tepat di peringkat pengurusan dan beliau bersetuju dengan tindakan kerajaan kini meletakkan usaha-usaha dan koordinasi pemberian vaksin di bawah di bawah satu kementerian yang sama bagi melancarkan lagi pemberian vaksinasi terutamanya di kawasan luar bandar dan diluar Lembah Klang.