KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang memberi jaminan akan menanggung baki kos perubatan Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan yang menghidapi penyakit genetik yang jarang berlaku, Atrofi Otot Spina Jenis 1 (SMA1).

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya bersedia menanggung kos berjumlah RM300,000 daripada keseluruhan kos RM9.7 juta sekiranya masih belum mencukupi mengikut had masa ditetapkan bagi pembelian ubat Genetik Zolgensma.

Ubat berkenaan adalah bagi menghentikan proses kemerosotan fungsi otot yang terjejas akibat SMA1 itu.

"Saya ada berbincang dengan bapa Athif, Mohd Farhan Mohd Sait, 35 tahun, dan isterinya, Nur Azizah Zamri, 33 tahun, agar Athif mendapat rawatan segera kerana keadaannya semakin lemah.

“Langkah segera diperlukan memandangkan pernafasan kanak-kanak itu semakin kritikal walaupun dana masih belum mencukupi kira-kira RM300,000.

"Jadi, saya harap pihak PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) mengambil tindakan segera. Jangan tunggu dana cukup baharu nak berubat.

"Katalah masih tidak dapat RM300,000 lagi, kerajaan negeri akan jadi 'collateral'. Ini jaminan saya, komitmen kerajaan negeri,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan RM50,000 kepada Athif di Permatang Badak di sini semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menziarahi adik Atihf yang menghidap penyakit genetik yang jarang berlaku, Atrofi Otot Spina (SMA), Jenis 1. - Astro AWANI

BACA: Kerajaan Pahang prihatin nasib Athif, hidap penyakit SMA Jenis 1

BACA: Selepas Naail, Misi Rakyat bantu Athif kumpul dana RM9 juta

Dalam pada itu, Mohd Farhan dan isterinya menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan kutipan dana dengan jumlah kutipan terkini adalah RM9.4 juta dalam tempoh sebulan yang dilaksanakan oleh Yayasan Misi Rakyat.

“Alhamdulillah, sekali lagi kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana memberi jaminan untuk melengkapkan baki dana dalam RM300,000 lagi untuk dana perubatan Athif.

"InsyaAllah atas usaha pihak kerajaan ini, proses pembelian ubat itu akan lebih cepat, terima kasih Kerajaan Pahang.

“Terima kasih sangat kepada rakyat Pahang, Yayasan Misi Rakyat, pihak Universiti Islam Antarabangsa Kuantan, pihak PPUM dan semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam kutipan dana pembelian ubat Athif ini,” katanya.