Sumbangan tersebut disampaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah (Ekonomi dan Perbankan Islam) dalam Majlis Penyampaian Surat Tahniah dan Wang Pendahuluan Pelajar Tahun Ketiga Program KYP-Yarmouk University,Jordan di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu
Seorang penuntut, Labiba Ahmad Kusairi, 20, berkata, sumbangan yang diterima itu dapat meringankan bebannya sekaligus membantu menampung perbelanjaan di Jordan kelak.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur sebab sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu kami para pelajar untuk menyara kehidupan di sana (Jordan) sebab kami pun bukanlah dari keluarga yang senang.
“Tambahan kadar mata wang di sana agak tinggi, jadi bila Menteri Besar dah bagi AS$1,000 seorang sekurang-kurangnya dapat kami gunakan untuk perbelanjaan termasuk membayar fasiliti dan kos belajar di sana,” katanya di sini pada Rabu.
Seorang lagi penuntut, Muhammad Irfan Rosdi, 20, berkata, sumbangan yang diterimanya itu dianggap rezeki yang tidak disangka-sangka kerana bukan semua pelajar mendapat peluang seperti ini.
“Bersyukurlah sebab bukan semua orang dapat ini (sumbangan) dan bila dapat sumbangan ini saya dan kawan-kawan dapat menambah sedikit wang perbelanjaan masa di sana.
“Mak dan ayah juga turut bersyukur kerana mereka sudah mengeluarkan kos yang banyak bagi membuat persediaan saya ke sana.
"Impian untuk menyambung pelajaran ke Jordan juga telah lama saya pendam demi memenuhi hasrat ibu yang ingin melihat anaknya melanjutkan pelajaran ke luar negara," jelasnya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy mengingatkan penuntut agar dapat belajar bersungguh-sungguh dan memperoleh keputusan yang cemerlang.
"Kesemua mereka (penuntut) akan bertolak ke Jordan pada 25 September ini dan diharapkan agar pelajar dapat menimba ilmu bersungguh-sungguh dan menjaga nama Negeri Pahang," katanya.
Sejak tahun 2005, Yayasan Pahang telah menawarkan kepada seramai 402 anak Pahang bagi mengikuti program ini dengan penajaan pinjaman berjumlah RM82,000 seorang bagi tempoh pengajian selama empat tahun dan seramai 331 orang telah pun berjaya menamatkan pengajian mereka.
Program di bawah KYP ini memerlukan pelajar mengikuti Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) terlebih dahulu selama empat bulan sebelum mengikuti pengajian selama dua tahun di KYP dan dua tahun lagi di Universiti Yarmouk, Jordan.