TUARAN: Kerajaan negeri Sabah meluluskan pelaburan bernilai RM11.5 bilion membabitkan 89 projek yang menjana 4,566 peluang pekerjaan sejak penularan COVID-19 pada tahun 2020 hingga tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) berkata daripada RM11.5 bilion pelaburan, RM9.2 bilion adalah pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM2.3 bilion adalah pelaburan domestik.

Beliau berkata 72.9 peratus daripada pelaburan atau kira-kira RM8.4 bilion adalah dalam sektor pembuatan diikuti sektor utama terdiri daripada pertanian, perlombongan, komoditi dan perladangan (RM1.6 bilion) serta sektor perkhidmatan (RM1.5 bilion).

Bagaimanapun, Hajiji berkata pelaburan itu tidak termasuk projek Keluli Hijau Bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang yang diumumkan pada November 2022.

"Dengan projek Keluli Hijau ini dan pelaburan lain dalam proses pelaksanaan, Sabah akan menerima sejumlah RM33.4 bilion," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat ahli lembaga pengarah SEDIA, di sini, pada Isnin.

Hajiji berkata pelaburan itu adalah usaha kumulatif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, SEDIA dan agensi berkaitan.

SEDIA sekarang berada secara langsung di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi, juseteru beliau mahu semua permohonan dan pelaksanaan projek di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) diselaraskan dengan lebih baik dengan garis masa yang ditetapkan dan semua prosedur dipatuhi.

Hajiji turut berbuka puasa bersama ahli lembaga pengarah SEDIA serta 100 anak yatim dan pelajar dari empat rumah kebajikan anak yatim dan pusat tahfiz di Tuaran iaitu Home Tuaran, Maahad Tahfiz Assohabah, Tarbiyatun Nisa dan Pusat Tahfiz Al-Quran Ash-Shabab Al-Mardhiyah.

-- BERNAMA