MERSING: Kerajaan telah meluluskan sebanyak 3,200 tapak perumahan bagi generasi kedua Felda di Johor dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, separuh daripada peruntukan itu akan melalui perbelanjaan daripada kerajaan negeri manakala selebihnya melibatkan dana padanan daripada Felda.

Selain itu, Ismail Sabri turut memaklumkan akan mewujudlkan Tabung Usahawan Belia Felda dengan dana permulaan sebanyak RM10 juta.

“Dana ini berupaya melonjakkan taraf sosioekonomi generasi baru Felda selain menjadi pemangkin aktiviti ekonomi di kawasan rancangan Felda termasuk pemerkasaan ekonomi digital.

“Saya yakin menerusi jalinan padu antara peneroka dan generasi baharu, Felda akan mampu berdepan dengan segala cabaran dan kembali utuh seperti zaman kegemilangannya sebelum ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Transformasi Perladangan Felda di Padang Awam Felda Endau pada Rabu.

Kerajaan luluskan 3,200 lot tanah untuk generasi kedua FELDA


Menyedari keadaan infrastruktur yang memerlukan penambahbaikan, Ismail Sabri juga memberitahu, kerajaan telah memperuntukkan RM700 juta termasuk RM500 juta bagi projek naik taraf jalan kampung, sistem saliran dan perparitan.

Selain itu, peruntukan turut disalurkan bagi projek naik taraf dan menyelenggara jalan pertanian kebun peneroka berjumlah RM200 juta.

Perdana Menteri dalam masa sama mengucapkan tahniah kepada FGV Holdings Berhad atas pencapaian keuntungan RM1.17 bilion bagi tahun kewangan 2021 selain menyifatkan kejayaan itu mampu memberikan impak positif kepada Felda yang memiliki 82 peratus saham FGV.