KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Penjanaan 2020-2039 telah menetapkan laluan rendah karbon, untuk mengurangkan pembebasan karbon daripada sektor pembekalan elektrik secara berperingkat, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia mengambil kira keseimbangan dalam tiga elemen utama trilema tenaga iaitu - jaminan bekalan, mampu bayar, dan kelestarian.

Pendekatan itu, katanya lagi, membolehkan sektor bekalan elektrik melaksanakan inisiatif rendah karbon secara terancang berdasarkan keupayaan dan ketersediaan sistem, serta mengambil kira kemampuan rakyat untuk membayar.

Beliau berkata, kesemua langkah itu penting dalam usaha dalam menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan GHG bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050.

“Antara langkah proaktif Kerajaan dalam mencapai aspirasi nasional ini termasuklah mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik dengan menetapkan sasaran sebanyak 31 peratus kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2025 dan 40 peratus menjelang tahun 2035.

“Sasaran ini akan dicapai melalui pelaksanaan dan penambahbaikan program-program TBB sedia ada seperti Feed-in Tariff (FiT), Net Energy Metering (NEM), SelfConsumption (SelCo) dan New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA),” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago yang mahu mengetahui langkah sertamerta/rancangan Kementerian untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil dalam penjanaan tenaga; merangsang penjanaan tenaga boleh diperbaharui; mengurangkan pengeluaran karbon (carbon emission) untuk mencapai ‘Carbon Neutral’ sebelum tahun 2050.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kerajaan tidak boleh menghentikan serta merta operasi loji swasta yang masih menggunakan arang batu dan gas.

“Kita ada suasana yang agak dilemma antara penggunaan bahan api atau arang batu dan gas ini, sebagai sumber penjana elektrik, dengan sasaran kita untuk kurangkan mencapai net zero carbon emission.

“Ini bergantung kepada keadaan realiti berlaku kerana kita tidak boleh hentikan serta-merta operasi loji,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan telahpun mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui lesen loji berkenaan selepas tamat tempoh, bagi memberi fokus sepenuhnya kepada tenaga boleh diperbaharui.