Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusof berkata, pengguna sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan atau alternatif, dan kerajaan perlu menumpukan usaha terhadap mencukupkan bekalan, mengawal harga serta kualiti bahan.
Mengambil contoh langkah kerajaan yang mengimport bekalan telur dari India, kata Mohamad Yusrizal, ia hanya akan menyelesaikan masalah bekalan, namun tidak menyelesaikan masalah harga dan kualiti barangan.
"Kalau nak kurangkan penggunaan ayam dan ambil alternatif sumber protein lain seperti telur, bekalan telur pula kurang di pasaran. Nak ambil ikan, sekarang musim hujan, jadi hasil tangkapan kurang, ini akan menyebabkan kenaikan harga mendadak, kualiti ikan pun kurang.
"Kerajaan seharusnya cari jalan pertingkat bekalan dan kawal harga. Kalau larang, tak payah makan ayam, ini kenyataan tidak tepat, pengguna tiada pilihan sumber protein lain," katanya ketika muncul dalam program Pantau Kerajaan Baharu, pada Sabtu.
Semua pihak, tambahnya, perlu mengambil iktibar situasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kekurangan permintaan menyebabkan bukan sahaja lambakan bekalan, tetapi juga pengeluar akan lebih bertanggungjawab dalam memastikan kualiti produk mereka.
"Apa yang boleh dilakukan ialah kekalkan subsidi untuk sementara waktu. Sebelum ini telah diperkenalkan subsidi minyak masak, telur, dan barang keperluan lain.
"Tetapi ia dilakukan berpanjangan sehingga merugikan negara. Subsidi kerajaan perlu bersifat sementara, kementerian berkaitan perlu ada kempen menyarankan rakyat bercucuk tanam dan memperluaskan industri sumber makanan bagi mencukupkan dan melambakkan bekalan makanan di pasaran," ujarnya.
Pada Jumaat, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata pengguna perlu berperanan untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.
Ini kerana kata Rafizi, pengguna mempunyai banyak pilihan lain, mengambil contoh tentang pemilihan makanan.