Presidennya, Datuk Seri N. Gobalakrishnan berkata, sebagai badan utama komuniti perniagaan Malaysia, NCCIM percaya belanjawan ini menetapkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan serta menangani cabaran utama yang dihadapi negara.
"Meskipun kami optimis terhadap potensi belanjawan, kepentingan pelaksanaan yang cekap dan telus perlu diberi penekanan," katanya dalam sidang media mengenai Belanjawan 2025, di sini pada Isnin.
Gobalakrishnan turut mencadangkan agar peruntukan RM86 bilion bagi perbelanjaan pembangunan (DE) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 perlu disegerakan bagi membantu merangsang penggunaan domestik.
"Melihat kepada prestasi ringgit yang kukuh, peningkatan eksport dan kemasukan pelaburan langsung asing, kami percaya peruntukan ini harus disalurkan kepada industri secepat mungkin.
"Berbanding menunggu hingga bulan ke-10, ia seharusnya dikeluarkan pada suku pertama tahun berkenaan supaya kita dapat melihat kemajuan lebih awal," katanya.
Beliau berharap belanjawan pembangunan itu akan membantu merangsang lagi penggunaan domestik dan menghidupkan pelbagai sektor, yang akan memberi kesan limpahan positif ke atas keseluruhan ekonomi.
"Kami menggesa agar kerajaan untuk mengekalkan dialog terbuka dengan pihak berkepentingan industri dan kekal fleksibel dalam menyesuaikan dasar ketika ekonomi sedang berkembang," katanya.
Mengulas mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, Gobalakrishnan berkata persatuan itu mengalu-alukan inisiatif itu untuk menangani kebajikan rakyat dan akan mengambil langkah berhati-hati bagi mengurangkan risiko.
"Disebabkan kos pengeluaran yang semakin meningkat, kerajaan sepatutnya memberi insentif kepada kami dan ia perlu disediakan secepat mungkin.
"Dengan langkah sedemikian, kami akan dapat menyerap kos dengan lebih mudah," katanya. - BERNAMA