Kerajaan belum menerima laporan terkini daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung dakwaan seorang tukang gunting rambut warga asing disyaki positif COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun menegaskan mana-mana premis akan diarahkan tutup jika berlaku kes penularan virus tersebut.

"Saya belum dapat laporan terkini daripada KKM. Jadi saya tidak boleh komen ya atau tidak. Namun kalau betul, premis gunting rambut itu pasti akan ditutup.

"Saya sudah cakap kalau ada kilang, premis, kedai gunting... kalau ada kes positif di situ, pekerja positif di situ... premis itu akan ditutup.

"Kemudian, saringan akan dibuat, (sebab itu) kita suruh (semua yang datang ke premis) isi butiran lengkap yang berkaitan... sama ada yang datang gunting rambut, rakan-rakan mereka yang tinggal bersama di rumah dan sebagainya.

"Jadi kita boleh saring mereka semua supaya kita tahu status kesihatan. Kita akan periksa semua kontak rapat kalau betul," katanya dalam sidang media harian di sini pada Jumaat.


Dalam pada itu, katanya pengguna berhak meminta surat pengesahan ujian swab daripada penggunting rambut warga asing bagi membuktikan mereka negatif COVID-19.

"Boleh (minta surat ujian swab). Maknanya kalau kita masuk ke kedai gunting tersebut, kita dapati dia adalah warga asing dan syarat kita adalah untuk mereka buat swab test baru mereka boleh buat kerja.

"Kita boleh minta surat ujian swab dikeluarkan klinik. Biasanya klinik akan keluarkan surat yang nyatakan not detected dalam surat itu. Jadi pengunjung berhak untuk meminta surat tersebut," tambah beliau.

Pada masa sama, Ismail Sabri meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengetahui ada pemilik premis dan pekerja asing yang gagal mengemukakan surat pengesahan berkenaan.

"Saya juga minta supaya pelanggan membantu kerajaan, kalau diminta dan gagal beri bukti tersebut, sila lapor segera kepada pihak berkuasa supaya tindakan boleh diambil ke atas tukang gunting yang ingkar dengan arahan kerajaan tersebut," ujarnya lagi.