KUALA LUMPUR:Kerajaan akan menambah baik piawaian halal terutamanya membabitkan daging dan produk daging yang diimport, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata ini termasuk melihat semula bagaimana negara pengeksport memperoleh pensijilan halal ke atas semua produk yang hendak dieksport ke negara ini.

"Kita kena periksa juga macam mana mereka berurusan. Saya akan cuba tengok dari semasa ke semasa dengan pihak halal (Bahagian Pengurusan Halal) Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia). Kita cuba untuk mengemaskinikan dengan lebih mendalam isu-isu seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan makanan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo Halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Zulkifli berkata dalam menangani isu kartel daging itu, aspek perundangan juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan mereka yang terlibat dikenakan tindakan yang sewajarnya.

"Apabila menyalahi apa yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan maka salahlah. Itu perlu dilihat dan dibetulkan semula," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna agar merujuk senarai produk yang berdaftar dan status halalnya mengikut negara sumber dalam laman sesawang Jakim.

Zulkifli berkata pihaknya turut memuat naik maklumat berhubung pengimportan daging di laman sosial Facebook dan Twitter rasmi beliau bagi memberi penjelasan kepada pengguna mengenai proses pengimportan daging.

-- BERNAMA