KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan isu integriti dan salah guna kedudukan lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan mengenai perkara itu dijangka diperoleh minggu hadapan.   
  
"Siasatan kes pegawai Mara itu sudah siap dan telah dibawa kepada pegawai perundangan kita dan dalam peringkat dengan pihak agensi dan kemungkinan akan ada keputusannya pada minggu hadapan," katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Selasa. 

BACA: Lima pegawai Mara beri keterangan kepada SPRM

Lima pegawai Mara itu sebelum ini hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan berkaitan isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan anak syarikat agensi itu. 

SPRM membuat siasatan itu selepas menerima laporan berhubung isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan.