UMNO mengekalkan tiga naib presidennya dalam pemilihan jawatan kanan parti itu yang dilihat sebagai pengesahan kepada prestasi UMNO dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dan keyakinan kepada barisan kepimpinan yang sama untuk menerajui Barisan Nasional dalam PRU14.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dalam satu sidang media pukul 1.40 pagi Ahad mengumumkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai tiga naib presiden yang dipilih.

Ahmad Zahid mendapat undi tertinggi daripada 185 bahagian manakala Shafie mendapat 174 undi dan Hishammuddin 100 undi.

Datuk Mukhriz Mahathir yang bersaing rapat dengan Hishammuddin dalam kiraan awal mendapat 91 undi.

Tajol juga memaklumkan biarpun Hishammuddin dan Mukhriz terikat seri di tiga bahagian namun undi itu tidak perlu dikira semula kerana tidak akan mengubah keputusan.

Undi bagi dua lagi calon Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Isa Samad jauh tercorot di bawah dengan masing-masing mendapat 7 undi.

"Ini adalah satu pengesahan kepada prestasi UMNO dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu," kata penganalisis politik, Ibrahim Suffian daripada Merdeka Center kepada Astro AWANI.

Dalam PRU13, UMNO yang menunjangi Barisan Nasional merampas semula negeri Kedah daripada Pakatan Rakyat manakala menambah 9 kerusi di Dewan Rakyat.

Pada pemilihan sayap parti minggu lalu, Khairy Jamaluddin kekal sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia manakala Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kekal menerajui sayap Wanita.

Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden setelah masing-masing tidak dicabar.

Menurut Ibrahim, keputusan pemilihan itu menunjukkan ahli-ahli UMNO berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan oleh dua penyandang naib presiden, Ahmad Zahid dan Shafie kepada parti.

"Bagaimanapun mereka menghantar mesej kepada Hishammuddin bahawa beliau harus melakukan lebih baik lagi pada penggal ini," katanya.

Ia juga membayangkan masih ada batasan yang membayangi kepimpinan Mukhriz untuk tampil di peringkat nasional, tambah Ibrahim.

Ini adalah kali kedua Mukhriz gagal dalam usahanya merebut jawatan kanan dalam UMNO di peringkat pusat. Empat tahun lalu, beliau kalah kepada Khairy dalam pertandingan bagi kerusi ketua sayap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Pemilihan kali ini adalah yang pertama sejak UMNO meminda perlembagaannya pada 2009 bagi meluaskan pemilihan jawatan peringkat pusat kepada lebih 146,000 ahli di peringkat akar umbi berbanding lebih kurang 2,500 perwakilan sebelum ini.

UMNO menyifatkan sistem pemilihan baru itu sebagai sebahagian daripada usaha transformasi ke arah meningkatkan demokrasi dalam parti serta membanteras amalan politik wang.