Keputusan Jabatan Peguam Negara untuk tidak mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan serangan seksual oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusof Rawther adalah berdasarkan dapatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, tiada sebarang isu yang mencurigakan terhadap keputusan yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan yang memutuskan tiada bukti mencukupi untuk mendakwa Anwar.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, pihaknya akan membuka semula kertas siasatan sekiranya terdapat bukti baru.

"Ia berlaku sudah lama kira-kira satu, dua tahun lalu. Anda tahu, ia sukar. Kita perlukan bukti fizikal. Itu sebabnya Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada cukup bukti untuk mendakwa berdasarkan penemuan dan kesimpulan kita.

"Keputusan yang dibuat Jabatan Peguam Negara adalah bersandarkan kepada penemuan hasil siasatan JSJ.

"Bercakap benar atau tidak itu persoalan lain. Tetapi apa bukti korelatif yang kita ada? Melainkan, kalau bukti baharu, barulah kita boleh buka semula kes berkenaan," katanya dalam sidang media Operasi Bersatu Khazanah di Pusat Latihan Polis, di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faisah Engku Atek berkata, tidak akan mendakwa seorang ahli politik dalam satu kes serangan seksual, atas alasan, tidak mempunyai bukti yang mencukupi.

Menurut beliau, terdapat percanggahan fakta yang material, yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan mana-mana orang di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain di bawah Kanun yang sama.

BACA: Tutup kes! Bukti kes serangan seksual ahli politik ternama tidak cukup - AGC


Dalam masa sama, Anwar memberikan reaksinya bahawa beliau tidak dapat memaafkan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther yang menuduhnya melakukan serangan seksual.

"Saya tidak dapat memaafkan tuduhan yang jelek, semberono dan yang menghina terhadap saya," kata
Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam akaun Twitter peribadinya pada Selasa.

BACA: Anwar tidak dapat maafkan Yusoff Rawther