KUALA LUMPUR: Keputusan biopsi kedua Fatimah Omar Mukhlis, 10, kanak-kanak cilik yang pernah tular kerana kepetahannya bercakap dalam loghat Kelantan walaupun membesar di United Kingdom, akan diketahui dalam tempoh sepuluh hingga 14 hari lagi.


Ringkasan AI
  • Keputusan biopsi kedua Fatimah Omar Mukhlis kanak-kanak cilik yang pernah tular kerana kepetahannya bercakap dalam loghat Kelantan walaupun membesar di UK, akan diketahui dalam tempoh sepuluh hingga 14 hari lagi. Fatimah dimasukkan ke hospital sejak Mac, kemudian dibenarkan keluar wad sebentar pada hari raya Aidilfitri yang lepas dan masuk semula sehingga kini.


Ibunya Nor Ashila Mahamed Ismail, 43, berkata ia mengambil tempoh yang lama kerana sampel tisu Fatimah dihantar ke tiga makmal berbeza untuk dianalisis, bagi mengenal pasti penyakit dihadapi anaknya.

"Dia baru sahaja selesai menjalani prosedur biopsi kedua, biopsi tulang pada Rabu (29 Mei) dan doktor minta sampel Fatimah dihantar ke tiga makmal berbeza untuk memastikan tiada percanggahan pendapat (keputusan)," katanya kepada Bernama.

Ditanya penyakit sebenar dihadapi Fatimah yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Birmingham, United Kingdom, Nor Ashila memohon maaf kerana belum bersedia berkongsi dengan umum secara terperinci.

"Kami minta maaf, setakat ini kami hanya berkongsi dengan keluarga dan rakan terdekat sahaja.


"Kami sekeluarga sangat berhati-hati dalam hal ini untuk memaklum (penyakit) supaya tidak menjejaskan Fatimah. Insya-Allah selepas doktor sahkan dan beritahu Fatimah mengenai penyakitnya, kami akan berkongsi dengan semua," katanya.

Nor Ashila berkata Fatimah dimasukkan ke hospital sejak Mac, kemudian dibenarkan keluar wad sebentar pada hari raya Aidilfitri yang lepas dan masuk semula sehingga kini.

"Fatimah berada di wad biasa, tapi di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan di sini. Kesihatannya agak lemah, ada hari dia boleh makan, ada hari lain dia tak boleh makan," katanya.

Sementara itu, Instagram rasmi keluarga itu, thefamily.uk, dihujani pelbagai komen daripada netizen yang mendoakan kesembuhan kesakitan dialami Fatimah dan berharap keluarganya terus tabah menghadapi ujian itu.

Fatimah, anak kedua daripada tiga beradik pernah tular dan meraih populariti di media sosial sejak di usia kecil, kerana tidak melupakan bahasa Melayu walaupun membesar di perantauan.

-- BERNAMA