KUALA LUMPUR: Kepentingan keselamatan siber dalam sektor kuasa tidak boleh dipandang ringan memandangkan implikasi besarnya terhadap sektor tersebut, kata penganalisis kanan bahagian kuasa dan tenaga boleh baharu BMI David Thoo.

Beliau berkata sektor kuasa, sama ada dalam tenaga boleh baharu (TBB) atau tenaga tradisional, akan sentiasa menjadi sasaran serangan siber, dan apabila penggunaan TBB semakin meningkat, ini mungkin bermakna lebih banyak loji kuasa dan sistem disasarkan.

"Sasaran utama serangan siber ialah infrastruktur kritikal termasuk rangkaian utiliti dan loji kuasa. Jika serangan ini boleh menyebabkan rangkaian atau loji kuasa tidak dapat menjana elektrik akibat pencerobohan dalam sistem kawalan, ia akan mengakibatkan bekalan elektrik terputus," kata Thoo kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi e-mel baru-baru ini.

Beliau berkata sejajar dengan komitmen terhadap perjanjian iklim, Dunia kini semakin meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu.

Namun begitu, peralihan pantas kepada tenaga hijau berdepan dengan cabaran baharu, termasuk kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan elektrik daripada sumber boleh diperbaharui, yang boleh mewujudkan peluang bagi serangan siber, katanya.

Kerajaan Malaysia, melalui Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2020-2024, telah mengenal pasti 11 sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal -- termasuk sektor tenaga -- yang perlu dilindungi dan dipelihara untuk memastikan keselamatan negara, ekonominya, dan kesihatan rakyatnya.

Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber Negara 2024 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 Mac dan Dewan Negara pada 3 April tahun ini.

Akta itu bertujuan untuk meningkatkan keselamatan siber negara melalui pematuhan terhadap langkah, piawaian dan proses tertentu dalam menangani ancaman keselamatan siber.

BMI ialah syarikat Fitch Solutions.

-- BERNAMA