TANJUNG MALIM: Kerajaan Negeri Perak bercadang memasang siren amaran di Sungai Slim di sini supaya penduduk lebih bersiap siaga menghadapi bencana seperti banjir dan kepala air.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang mengkaji kesesuaian lokasi bagi pemasangan siren itu menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB).

"Pelaksanaan PRAB akan memberi tempoh masa yang cukup untuk agensi kerajaan dan penduduk bertindak awal ketika berhadapan bencana," katanya kepada pemberita meninjau Jambatan Slim Village yang runtuh akibat kejadian kepala air, petang semalam.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim dan Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP) Lokman Abd Rahim.

Dalam kejadian petang semalam, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir dan kejadian kepala air yang kemudian mengakibatkan tiga jambatan runtuh, struktur muka sauk loji rawatan air Sungai Geliting pecah dan ratusan penduduk terperangkap.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata gangguan bekalan air membabitkan 10,000 akaun pengguna di sekitar daerah Muallim pulih 40 peratus, setakat 6 petang tadi.

Beliau berkata LAP memaklumkan gangguan bekalan air itu dijangka pulih secara berperingkat bermula esok susulan muka sauk loji rawatan air Sungai Geliting pecah.

-- BERNAMA