Seorang petani di negeri jelapang padi itu Mohd Farid Ahmad, 35, berkata walaupun hasil tuaian padi sedikit berkurangan musim ini, kenaikan harga lantai tersebut telah mengurangkan kerugian dihadapinya.
"Bila harga padi dah naik, dapatlah menampung sedikit...kilang pun ambil harga tinggi sekarang jadi pendapatan tidak terjejas sangat. Kalau harga padi masih rendah, pendapatan kami pasti terjejas tetapi mujurlah (harga lantai belian) dah naik sekarang," katanya kepada Bernama di sini.
Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) Abdul Rashid Yob pula berkata kenaikan harga lantai belian padi sangat munasabah memandangkan kos operasi sawah di pelbagai peringkat pada masa ini semakin meningkat.
"Kita bersyukur ada kenaikan kerana hasil dinikmati petani semakin merosot sejak empat musim (dua tahun lepas). (Kos) racun juga telah meningkat berkali ganda sehingga mencecah 150 peratus.
"Sekarang ni petani lega sikitlah sebab pengilang sendiri berebut-rebut membeli padi dengan harga sehingga RM1,750 per tan metrik kerana permintaan padi meningkat, harga itu (RM1,750) tambahan daripada pengilang sendiri," katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024 Okt tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan harga lantai belian padi berkenaan bagi membantu pendapatan pesawah.
Anwar berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rungutan pesawah padi apabila harga belian oleh pengilang diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 per metrik tan metrik sejak 2014.
Sementara itu Ketua Peladang Muda Pertubuhan Peladang Kawasan E1V Bukit Besar Aswadil Khairi Che Omar berkata para petani sangat menghargai keprihatinan kerajaan menaikkan harga lantai belian padi sekali gus menyuntik semangat mereka untuk terus bertani.
"Kami sudah bersyukur sebenarnya kerana insentif Skim Subsidi Harga Padi pun telah dinaikkan daripada RM360 kepada RM500 sejak Ogos 2023, jika dicampurkan dah menjadi RM1,800 per tan metrik padi," katanya.
-- BERNAMA