Pada masa sama katanya, kerajaan mahu mengekang peningkatan inflasi.
"Tentunya dalam keadaan begitu kita harus imbangkan permintaan dan penawaran dalam tenaga kerja, perkhidmatan dan barangan hari ini.
"Sebab itu saya fikir Perhimpunan Agung UMNO 2024 mesti melihat bukan hanya sekadar desakan tapi bagaimana kita dapat menyumbang saran untuk memperkukuh ekonomi dan menstruktur semula masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Laman Media yang menempatkan kira-kira 500 petugas media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang berlangsung tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut melihat peranan menteri dan timbalan menteri daripada UMNO adalah penting dalam sistem penyampaian, terutama bagi memperkukuh Kerajaan MADANI menerusi kementerian masing-masing.
Menyentuh mengenai subsidi, Ahmad Zahid berkata kerajaan telah membelanjakan jumlah yang besar untuk pemberian subsidi dan pelaksanaan subsidi bersasar bagi memastikan hanya mereka yang layak mendapat manfaat.
Terdahulu Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO mencadangkan satu kajian semula yang menyeluruh dan pendekatan lebih berhemah serta berperingkat dilaksanakan dalam rasionalisasi subsidi.
-- BERNAMA