SUBANG JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan kempen 'Kasih Sayang Ibu dan Si Manja' di bawah Inisiatif Payung Rahmah, anjuran pasar raya Mydin bagi mengurangkan beban ibu bapa dalam membeli barangan keperluan anak-anak.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata di bawah kempen itu, pasar raya dengan kerjasama pemain industri menawarkan penjimatan sehingga RM600,000 bagi barangan keperluan bayi, antaranya susu formula bayi dan lampin bayi pakai buang dan barangan lain.

"Sepanjang kempen ini berlangsung sehingga 8 Sept depan, Mydin menawarkan pembelian dengan penjimatan sehingga 50 peratus di semua pasar rayanya bagi barangan keperluan bayi seperti pakaian, kerusi roda bayi, kereta sorong bayi, botol susu, barangan mandian bayi dan pelbagai peralatan bayi.

"Selain itu pasar raya ini juga menawarkan pemberian pek ekonomi percuma bagi setiap pembelian susu formula bayi terpilih selama empat hari bermula 20 Julai hingga 23 Julai," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran kempen berkenaan di pasar raya itu di sini.

Katanya turut ditawarkan Pakej Rahmah set keperluan bayi dan kanak-kanak yang merangkumi pelbagai barangan seperti tuala mandi bayi, vacuum flask, lampin bayi, syampu dan mandian bayi, tisu basah dan set pakaian bayi dengan harga serendah RM95 dan RM150.

Salahuddin berkata antara pemain industri yang turut mengambil bahagian dalam kempen itu adalah Abbott, Carrie Junior, Drypers, Diapex, Dugro, Dutch Lady, Fernleaf, Huggies, Milna, Molfix, MY DryFirst dan Nestle Cerelac

"Komitmen daripada 11 pemain industri multinasional ini membuktikan mereka juga membantu, dan jika inisiatif ini berterusan saya percaya KPDN akan terus adakan libat urus dengan mereka," katanya.

Katanya beliau berharap kempen 'Kasih Sayang Ibu dan Si Manja' akan berterusan dan menjadi ikutan kepada mana-mana pasar raya supaya dapat menawarkan pakej yang sama.

-- BERNAMA