Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata muzium berperanan mengumpul, memelihara serta melestarikan koleksi warisan sejarah, seni dan budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Beliau berkata antara usaha kementerian menerusi Jabatan Muzium Malaysia dalam memartabatkan sejarah dan warisan negara adalah melalui Program Citra Nusa.
"Program ini ialah inisiatif di bawah flagship Kembara Perpaduan, bertujuan memperkukuh wadah perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui khazanah warisan negara," katanya pada Majlis Perasmian Program Citra Nusa@Muzium Arkelogi Lembah Bujang dan Pameran Galeri Sejarah Arkelogi Lembah Bujang di sini pada Sabtu.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.
Majlis berkenaan disempurnakan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Sementara itu, Aaron berkata pembukaan semula Galeri Sejarah Arkeologi Lembah Bujang di muzium itu bukan sahaja menjadi lambang pemeliharaan sejarah bangsa malah menghubungkan masyarakat dengan warisan yang pernah dikecapi sebelum ini.
Beliau berkata sejarah panjang Kedah Tua yang bermula sejak abad kedua Masihi ialah bukti kawasan itu pernah menjadi pusat perdagangan dan tamadun ulung yang menghubungkan dunia luar termasuk tamadun besar seperti India, China, Timur Tengah dan Nusantara.
"Kehebatan tamadun ini tidak hanya terserlah pada tinggalan sejarah tetapi juga pada nilai-nilai yang diwarisi generasi kini. Warisan yang ada ini menjadi kebanggaan buat seluruh rakyat jelata kerana ia menunjukkan negara kita telah lama menjadi pusat pertemuan budaya dan peradaban yang besar.
"Kementerian Perpaduan Negara percaya bahawa dengan memahami, menghayati dan menghargai sejarah serta warisan ini dapat bersama-sama membina sebuah masa depan lebih kukuh dan harmoni," katanya.
Pada majlis itu, Sultan Sallehuddin turut berkenan merasmikan pembukaan semula Galeri Pameran Arkeologi Lembah Bujang yang telah dinaik taraf pada 2022 dan siap sepenuhnya pada April tahun ini.
Program Citra Nusa@Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang bermula semalam hingga esok menyediakan pelbagai aktiviti menarik menggunakan pendekatan berbentuk didik hibur (edutainment) termasuk demonstrasi pembuatan produk, persembahan kebudayaan, pameran serta jualan produk usahawan.
-- BERNAMA