Kementerian Kesihatan memandang serius kegiatan pengamal pergigian haram yang semakin berleluasa dalam menawarkan perkhidmatan pergigian kosmetik seperti pemasangan pendakap gigi dan venir pergigian.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian turut khuatir kerana orang ramai masih kurang sedar mereka yang menawarkan prosedur tersebut adalah tidak bertauliah, kerana tertarik dengan tawaran harga yang dianggap murah.

"Kementerian ingin mengingatkan orang awam supaya peka dan mengambil berat risiko yang akan dialami sekiranya mendapatkan perkhidmatan daripada pengamal pergigian haram yang tidak bertauliah.

"Kesan buruk atau komplikasi yang boleh berlaku adalah seperti kesakitan, infeksi, ulser mulut, gigi longgar, pergerakan gigi yang luar biasa, karies gigi, kehilangan gigi dan gusi yang bengkak serta bernanah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lebih membimbangkan, kata Dr Noor Hisham, risiko dijangkiti virus HIV dan Hepatitis adalah tinggi kerana pembasmian kuman ke atas peralatan tidak dilakukan dengan sempurna.

Beliau berkata kementerian menerima semakin banyak aduan daripada pelanggan yang telah mengalami komplikasi atau kesan buruk daripada perkhidmatan tidak profesional yang ditawarkan pengamal pergigian haram sejak akhir-akhir ini.

"Ini termasuk perkhidmatan pembuatan gigi palsu, ''scaling'' dan pemutihan gigi," katanya lagi.

Menurut Dr Noor Hisham, pemutihan gigi dengan produk yang dijual di pasaran terbuka iaitu dengan kepekatan asid kurang daripada 0.01 peratus boleh diguna pakai sendiri oleh orang awam.

Namun, prosedur pergigian yang menggunakan produk pemutihan gigi melebihi kepekatan yang ditetapkan, perlu dilakukan pengamal bertauliah iaitu doktor yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia di bawah Akta Pergigian 1971 serta menjalankan perkhidmatan di premis kesihatan yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat tentang kegiatan pengamal pergigian yang

mencurigakan digesa menyalurkan aduan rasmi kepada Bahagian Kesihatan Pergigian KKM dengan menghubungi nombor telefon: 03-88834215 atau emel ohd@moh.gov.my), agar penguatkuasaan boleh dijalankan, katanya.

KKM-PERGIGIAN 3 (AKHIR) PUTRAJAYA

Dr Noor Hisham berkata, sejak 2015 sehingga kini, sebanyak 46 aduan telah diterima mengenai pengamal pergigian haram dan sepanjang tempoh itu juga, 18 kes telah dibawa ke mahkamah.

Dalam kes terbaharu yang didakwa di Johor pada 30 Mac lepas, tertuduh telah dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara tiga bulan, katanya.

"Kementerian menyeru orang ramai untuk mendapatkan sebarang rawatan pergigian

di klinik pergigian kerajaan mahupun swasta yang berdaftar dan dilakukan oleh pengamal pergigian yang bertauliah," katanya lagi.

Pendaftaran pengamal pergigian boleh disemak di laman web Majlis Pergigian Malaysia di mdc.moh.gov.my atau dpims.moh.gov.my.

-- BERNAMA