KUCHING: Rakyat Bumi Kenyalang disaran merebut peluang menikmati perkhidmatan percuma ditawarkan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Kembara KASIH KPWKM di seluruh Sarawak mulai esok hingga 22 Sept ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata program itu dilaksanakan di lapan daerah iaitu Kuching, Sibu, Kapit, Bintulu, Sibuti, Miri, Limbang serta Lawas.

"Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi memastikan rakyat Sarawak mendapat manfaat daripada program ini khususnya mereka yang ketinggalan untuk mendapat perkhidmatan yang ditawarkan kepada orang kurang upaya, warga emas dan kelompok lain masyarakat.

"Kami berharap program ini memberi impak dan manfaat yang optimum kepada golongan sasar KPWKM serta masyarakat setempat," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Advokasi Kasih Kanak-Kanak di sini hari ini.

Program Kembara KASIH KPWKM, yang meliputi perjalanan sejauh 1,456 kilometer, adalah kerjasama semua agensi di bawah kementerian itu termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita, Yayasan Kebajikan Negara dan Tribunal Antigangguan Seksual.

Nancy turut mempelawa orang ramai menyertai peraduan fotografi Kembara KASIH KPWKM menerusi perkongsian gambar menarik sepanjang program itu di platform Facebook dengan tanda pagar #KembaraKasihKPWKM dan #KPWKMPeduliRakyat.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka merasmikan program itu di Tebingan Kuching.

-- BERNAMA