Pergerakan Puteri UMNO melihat usaha mengembalikan semangat jurupandu gunung yang terganggu akibat gempa di Gunung Kinabalu Jumaat lepas kini terletak di tangan seluruh rakyat negara ini.

Pengerusi Biro Sukarelawan dan Kebajikannya, Nor Farhana Alham berkata, kebanyakan daripada malim gunung juga disifatkan berada di dalam situasi sedikit tekanan akibat tragedi yang mengorbankan puluhan nyawa itu.

"Mereka terkilan namun redha apabila melihat trek pendakian hancur dan ia sekali gus menandakan terjejas mata pencarian dan sumber pendapatan kumpulan itu.

"Semangat mereka mungkin luntur namun doa serta harapan dan kata-kata semangat seluruh rakyat negara ini akan mengembalikan kekuatan mereka untuk kembali berkhidmat kepada pendaki selepas ini," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.




Guru Besar SK Mesilow, Kudasang menunjukkan siling yang hampir runtuh akibat gempa di salah sebuah kelas di sekolahnya - Sumber Gambar Nor Farhana


Kata Nor Farhana, selain sumbangan, rakyat negara ini juga diharap tidak melupakan Gunung Kinabalu sebagai destinasi pelancongan walaupun ia dilanda tragedi pada minggu lalu.

BACA: Malim gunung Joseph Selungin jadikan tubuh sebagai perisai kepada dua pendaki

"Sumbangan dan ziarah Puteri UMNO kepada keluarga mangsa gempa adalah tanda prihatin serta simpati kepada mereka yang terlibat dalam gempa.

"Saya juga membuat pertemuan dengan Presiden Persatuan Malim Gunung, Kinabalu Park, Richard Shaibi dan berbincang mengenai bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka, jelas mereka berharap pihak berkenaan dapat membantu terutama melibatkan isu pembaikan semula trek pendakian," jelasnya.

BACA: Gempa Ranau: Murid imbas semula detik saksikan tanah merekah, pokok tumbang

Nor Farhana dan beberapa ahli bironya kini berada di Sabah untuk misi membantu terutama dari aspek kaunseling dan menziarahi keluarga mangsa gempa.

BACA: Gempa Ranau: Helikopter gagal tembus awan tebal, operasi SAR terhenti

Dalam pada itu ujarnya, seluruh Pergerakan Puteri UMNO di setiap negeri kini sudah menubuhkan Tabung 'Pray For Sabah' untuk disalurkan kepada mangsa yang berkenaan.

BACA: "Kini Aki sudah tidak sama lagi, ia sudah dirosakkan," luah rakyat Sabah

Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu berpusat 16 kilometer di barat laut Ranau dan berlaku 7.15 pagi Jumaat lepas.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Abd Malik Tussin memaklumkan, sebanyak 54 gegaran susulan direkodkan Jabatan Meteorologi susulan gempa bumi pada pagi Jumaat lalu.

Jelasnya, semua gegaran susulan itu berukuran antara 1.6 hingga 4.5 pada skala berkenaan.

Katanya gegaran berukuran 4.5 direkodkan pada 7.06 malam pada Jumaat.