KUALA LUMPUR: Pemergian jururawat Malaysia yang bertugas di sebuah hospital utama di Singapura, Karunyah Paskaran, dipercayai akibat tekanan perasaan yang berterusan turut meraih simpati yang mendalam dalam kalangan rakyat di Republik itu.

Portal Independent SG melaporkan rakan setugasnya sebagai berkata, Paskaran merupakan seorang gadis yang cukup tenang, bukan seorang pemarah dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda-tanda sedang mengalami tekanan perasaan.

Bagaimanapun, rakannya berkata, sewaktu mereka bersama-sama bertugas di wad COVID-19 dan ARI (Acute Respiratory Infection), Hospital Besar Singapura (SGH), Paskaran kelihatan mula susut berat badan dan hanya minum kopi sepanjang masa.

“Saya ada mendengar dari seorang lagi rakan, dia terlalu ingin pulang ke Malaysia, namun seperti sedia maklum, situasi di wad kami tidak membenarkan perkara itu berlaku. Tetapi, saya tidak pasti sama ada dia  ada memaklumkan pihak hospital mengenai hasratnya itu.

“Namun saya percaya, kematian mendiang boleh dielakkan jika mendapat sokongan dari orang tersayang, dan rakan-rakan sekeliling. Kesihatan mental adalah alasan kukuh mengapa seseorang patut mengambil cuti,” luah rakannya seperti dilaporkan portal itu.


Semakan Astro AWANI mendapati, tiada maklumat lanjut tentang Paskaran, tetapi satu paparan akaun Facebook menunjukkan gadis itu pernah mendapat pendidikan di Kedah.

Beberapa pengguna sosial media turut meluahkan rasa kekesalan terhadap insiden yang menimpa jururawat itu, dan ada di antara mereka yang memetik Presiden Singapura Halimah Yaacob (@halimahyacoc), Kementerian Kesihatan Singapura (@moh_singapore), Menteri Kesihatan Singapura Ong Ye Kung (@ongyekung), dan beberapa media tempatan Singapura.

Semakan Astro AWANI di laman Facebook dipercayai miliknya, menunjukkan paparan terakhir Paskaran yang berbunyi – “cousin friendships are big flex."

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Singapura tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai insiden tersebut, namun akaun rasmi SGH berkata, pihak pengurusan sedih dengan kejadian yang menimpa Paskaran.

“Kami sedar dengan penularan mesej dan catatan di media sosial mengenai pemergian salah seorang petugas kami. Kami sangat berasa sedih dengan kehilangan tersebut, kerana beliau amat disayangi dan disenangi petugas SGH. Takziah buat keluarganya.

“Kami telah menghubungi mereka untuk menawarkan bantuan di saat yang amat menyedihkan ini. Kami juga memberi sokongan kepada rakan setugas ketika mereka sedang bersedih dengan kehilangan Paskaran.

“Demi rasa hormat terhadap keluarga dan rakan setugas, kami memohon pertimbangan orang awam untuk tidak membuat spekulasi mengenai insiden tersebut,” kata Ketua Jururawat SGH, Ng Gaik Nai dalam satu perkongsian di laman Facebook SGH.

 
Sumber Facebook SingaporeGeneralHospital
 

Befriender