Bagi mengatasi keadaan ini, program Kem Valour telah diperkenalkan oleh seorang pelatih kepimpinan remaja, Eugene Lim bagi memupuk sifat kepimpinan di kalangan para remaja melalui aktiviti sukan.
Menurut Pengurus SEEDS Training Malaysia ini, beliau memberi fokus kepada tiga perkara dalam membentuk ciri-ciri seseorang.
Ia melibatkan kekuatan, daya tahan dan tekad dalam melakukan sesuatu.
"Apa yang membezakan Kem Valour dengan kebanyakan program motivasi yang lain adalah, aktiviti kita dilakukan melalui sukan. Kita akan ajar mereka bagaimana untuk berjaya.
"Di Malaysia, kita lihat kebanyakan remaja suka bersukan. Jadi kita salurkan tiga sifat ini melalui sukan 'dodgeball'," kata Lim.
Tambah beliau, program ini mampu mempersiapkan golongan siswa sebelum memasuki alam pekerjaan.
Ini kerana, majikan kini tidak hanya melihat kepada pencapaian akademik semata-mata.
Malah minat dan hala tuju seseorang calon yang memohon kerja itu juga memainkan peranan penting dalam proses pengambilan bekerja.
"Perkara paling penting adalah cara dan kemahiran berkomunikasi. Ia bukan sahaja tentang akademik tetapi cara penampilan dan keyakinan diri juga diambil kira.
"Kebanyakan belia kini terutamanya di Malaysia tidak mempunyai keyakinan diri dan tidak berani menyuarakan pendapat," kata Lim.
Menurut Lim, golongan muda sekarang mementingkan diri sendiri dan hanya memikirkan apakah faedah dan kelebihan mereka akan dapat di tempat kerja.
Bagaimanapun pada pihak majikan pula, mereka inginkan pekerja yang boleh menyumbang kepada syarikat dan bantu capai visi syarikat.
Oleh itu, belia harus berani mencuba dan bersuara demi mencapai kejayaan dan ini boleh dilaksanakan di peringkat akar umbi seperti di sekolah dan universiti.