KUALA LUMPUR: Pendekatan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diharap memberikan tumpuan khusus kepada pengurusan permasalahan rakyat secara mikro.

Penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tumpuan itu diperlukan disebabkan peruntukan belanjawan dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah usaha pimpinan kerajaan secara makro yang bertujuan membentuk pendekatan dan peruntukan secara komprehensif terhadap permasalahan rakyat.

Menurut beliau, apa yang dimahukan oleh masyarakat ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19 adalah jaminan secara mikro atau terperinci bagi menambahbaik kestabilan ekonomi mereka.

Bahkan, kata Noor Nirwandy, jaminan keselamatan kesihatan khususnya bagi mereka yang terkesan secara langsung seperti kehilangan pekerjaan, kematian ahli keluarga yang menyara keluarga serta kurang upaya kesihatan kesan dari pandemik juga perlu diberi tumpuan khusus.

"Tawaran kepada pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara adalah penting untuk diterima oleh parti pembangkang bagi meningkatkan keupayaan penyaluran bantuan dan pembentukan sistem sokongan kepada pengurusan permasalahan rakyat secara mikro agar tiada golongan masyarakat yang ketinggalan dalam perlaksanaan pemulihan negara melalui pendekatan Keluarga Malaysia.

"Jawatankuasa Parlimen juga boleh dibentuk di peringkat Dewan Rakyat dan di kawasan Ahli Parlimen masing-masing bagi memastikan setiap permasalahan dianalisa dan diselesaikan dengan lebih berkesan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.



Ini maksud pendekatan #KeluargaMalaysia

BACA: PM ajak semua Ahli Parlimen selamatkan Keluarga Malaysia

BACA: 
'Beri ruang anak muda terangkan situasi sebenar negara' - Shahril Hamdan

Terdahulu, dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri menyeru kepada seluruh Ahli Dewan Rakyat sama ada di dalam atau di luar kerajaan agar menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.

Menurut Ismail Sabri, kesemua ahli politik harus berfikiran terbuka dan berlapang dada menerima, mencungkil persamaan serta mengenepikan perbezaan.

Dalam pada itu Noor Nirwandy berkata, rakyat juga mahu sandiwara politik dihentikan dan usaha sama antara semua parti politik haruslah berkonsep rentas politik dalam memerangi pandemik.

"Masyarakat juga diminta menyokong usaha kepimpinan negara dan menyuarakan permasalahan mereka di peringkat Pusat dan di kawasan Parlimen masing-masing dengan saluran penyampaian yang perlu diwujudkan segera serta diselaraskan dengan pendekatan rentas parti politik.

"Rakyat juga digesa melakukan gencatan komen melampau di media sosial berhubung kecenderungan parti politik atau pemimpin tertentu.

"Sudah tiba masa kita juga melakukan gencatan komen melampau serta negatif berbaur politik terutamanya di media sosial bagi bersama sebagai satu Keluarga Malaysia seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri," tegas Noor Nirwandy lagi.

Apa yang paling utama ketika ini, kata beliau, rakyat perlu bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan memberi maklum balas bersifat konstruktif bagi memulihkan semua sektoral yang terkesan di waktu bersama memerangi pandemik.