SUNGAI BESAR: Kerajaan Perpaduan tidak akan mengizinkan mana-mana kelompok luar bandar di negara ini tersisih daripada mendapat pembelaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan martabat, harkat dan darjat rakyat supaya dapat hidup dengan lebih selesa di samping mutu pendidikan anak serta kesihatan keluarga terus terjamin, selain sokongan terhadap bidang perniagaan diteruskan.

"Kita telah cadangkan ada mekanisme untuk memperbaiki mutu pengeluaran dan hasil pengeluaran (usahawan luar bandar) supaya lebih mampu berdaya saing dan membantu dari segi pemasaran, sama ada melalui teknologi maklumat digital atau pun dengan cara-cara yang dapat dikendalikan oleh kementerian lain.

"Sebab itu penyelarasan adalah penting. Kita mengeluarkan hasil di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, tetapi pemasarannya di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@Sungai Besar dan Sentuhan Kasih Desa Selangor di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar berkata sebagai Perdana Menteri yang baharu dilantik ke jawatan itu lapan bulan lepas, tumpuan kerja beliau kini adalah untuk menyusun pembangunan Malaysia, meskipun menerima banyak undangan daripada pemimpin luar ke negara mereka.

"Saya ini dapat jemputan (dari pemimpin luar negara) kalau ikutkan setiap minggu berbanding (pemimpin) dahulu jemputan pun kurang.

"Dua hari lepas saya dapat surat daripada Raja Salman (Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud) undang saya ke Arab Saudi. Bulan lepas saya dapat panggilan telefon daripada ketua negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) (Presiden Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan).

"Dua tiga hari lepas, selepas berjumpa Menteri Luar Turkiye, beliau minta sangat saya berkunjung ke Istanbul dan Ankara untuk menemui sahabat kita Presiden Recep Tayyip Erdogan, tapi saya kata selaku Perdana Menteri baharu saya mahu tumpu kerja ke dalam negara dahulu bagi saya peluang saya susun bantu rakan-rakan kita, kalau keluar hanya untuk urusan utama," katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang baru dilantik ke jawatan itu pada Mac lepas supaya melaksanakan tugasnya dengan baik.

Katanya beliau tidak akan teragak-agak untuk menukar Pengerusi MARA itu sekiranya laporan mengenai prestasi badan berkenaan dalam tempoh enam bulan akan datang tidak memberangsangkan.

"MARA ada Pengerusi baharu yang tampan, berani dan tegas. Cukup enam bulan nanti kita nak minta laporan, kalau kerja macam dulu kita tukar, tapi saya yakin bila kita tampil tokoh muda ada idea baru, ada jiwa bantu orang Melayu saya yakin enam bulan dia boleh tukar kemajuan, dan MARA lebih baik daripada yang kita lihat dahulu," katanya.

-- BERNAMA