Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaffar berkata penyiasatan yang memerlukan kerjasama negara asing merupakan antara sebab berlaku kelewatan dalam tindakan untuk menangani kes pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah Mac lalu.

Memandangkan penceroboh merupakan rakyat asing, siasatan yang dijalankan polis tertumpu kepada tujuan kemasukan terlebih dahulu dalam usaha menjaga hubungan serantau antara Malaysia dan Filipina.

"Saya tidak melihat ia sebagai satu kegagalan pihak polis, atau kegagalan sesiapa. Ia hanya strategi kami untuk berundur terlebih dahulu sebelum ada kecederaan atau kemusnahan yang lebih teruk. Jika kita terus menyerang, kita berkemungkinan akan membunuh rakyat kita sendiri. Ini adalah situasi yang perlu dielakkan," kata Wan Junaidi kepada Astro AWANI.

Sebelum itu Wan Junaidi menjawab soalan dari wakil rakyat Barisan Nasional, BN Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) di Dewan Rakyat yang bertanya samada ada rakyat Malaysia di kalangan pengikut Sultan Kiram III yang menceroboh Sabah.

Wan berkata, daripada 30 orang yang didakwa, empat adalah rakyat Malaysia manakala seorang lagi berstatus penduduk tetap. Beliau berkata seorang lagi masih berada di hospital dan akan dihadapkan ke mahkamah tidak lama lagi.

"Mengapa ia mengambil masa yang lama untuk siasatan? Mengapa perlu ada rundingan apabila mereka jelas adalah pengganas yang mahu menuntut Sabah?” tanya Bung.

Wan Junaidi menjelaskan bahawa ia mengambil sedikit masa untuk memastikan motif penceroboh dan mengesan sekiranya kumpulan itu dilengkapi senjata.

"Adakah ini bermakna polis kita tidak bagus?" tanya Bung.

Wan menjawab pihak polis hanya menyedari bahawa mereka adalah kumpulan pengganas selepas mereka diserang.

"Dalam semangat ASEAN, kita terpaksa melibatkan ahli politik. Kita tidak tahu siapa mereka. Selepas mengetahui niat mereka, maka tindakan ketenteraan telah diambil dan pada akhirnya kami berjaya menghentikan pencerobohan. "

Klik video untuk laporan penuh Astro AWANI.