Kelewatan penyiapan sistem bersepadu Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Kerajaan (IGFMAS) untuk Jabatan Akauntan Negara (JAN) di bawah Kementerian Kewangan telah memberi implikasi kewangan tambahan berjumlah RM230.74 juta kepada kerajaan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun (LKAN) 2018 Siri 3, kelewatan penyiapan itu membabitkan penangguhan Go-Live IGFMAS sebanyak tiga kali iaitu antara 1 Januari 2015 hingga 1 Januari 2018.

"Kesan daripada pelanjutan tempoh masa pembangunan dan penangguhan Go-Live IGFMAS telah memberi implikasi kepada kerajaan iaitu pertambahan sebanyak RM230.74 juta berbanding kos asal RM329.94 juta," kata laporan itu.

Ia menambah perbelanjaan tambahan ini merangkumi keperluan penyenggaraan lesen dan server sistem legasi (GFMAS) berjumlah RM10.68 juta.

Laporan itu turut menyebut perolehan keseluruhan penyenggaraan lesen user dan engine IGFMAS dibuat secara bersekali berjumlah RM77.11 juta yang perlu diteruskan mengikut tarikh kontrak pada 2013 walaupun sistem belum beroperasi serta pelantikan Pejabat Pengurusan Projek (Project Management Office) berjumlah RM22.11 juta.

Bagaimanapun, kerajaan telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan implikasi yang terlibat.

Menurut laporan itu, penyenggaraan sistem legasi GFMAS mesti terus beroperasi bagi memastikan operasi harian kerajaan persekutuan berjalan lancar.

Jelasnya, objektif pembangunan IGFMAS adalah bagi menghasilkan penyata kewangan tunai ubah suai dan akruan serta laporan secara real time melalui sistem di peringkat kerajaan persekutuan dan kementerian.

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM773.27 juta untuk kos keseluruhan sistem IGFMAS dan perakaunan akruan.

Mengenai penyata kewangan kerajaan persekutuan (PKKP) pula, semakan Jabatan Audit turut mendapati PKKP secara tunai masih belum dapat dijana secara real time melalui modul laporan kewangan iaitu Business Warehouse (BW) sepenuhnya.

Sebaliknya, pelarasan format dibuat kepada PKKP tahun 2018 di luar sistem IGFMAS menggunakan platform sokongan lain.

"Pada pendapat Jabatan Audit, sistem IGFMAS telah dibangunkan secara bersepadu berasaskan prinsip tunai dan akruan. Bagaimanapun, keberkesanan pencapaian outcome tidak dapat diukur kerana pelaporan perakaunan belum dapat dijana secara menyeluruh," katanya.

Kutipan balik bayaran "Liquidated Ascertained Damages" (LAD) berjumlah RM9.27 juta tidak dibuat sepenuhnya, hanya sejumlah RM2.02 juta atau 21.8 peratus LAD telah dikutip daripada pembekal.

Menurut laporan itu, semakan audit terhadap Laporan Kenaan LAD mendapati sehingga 30 Jun 2019, sebanyak 28 ketidakpatuhan melibatkan kelewatan "deliverables" seperti terkandung dalam dokumen kontrak utama dengan anggaran LAD berjumlah RM9.27 juta.

Secara keseluruhannya sistem IGFMAS belum mencapai tahap kecekapan yang optimum, katanya.

Justeru, Jabatan Audit mengesyorkan JAN menyediakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas bagi mengukur pencapaian "outcome" sistem IGFMAS setelah sistem siap dan digunakan sepenuhnya.

Tambahnya, JAN juga disaran melaksanakan pengujian di peringkat pembangunan dengan lebih teliti dan secara lebih menyeluruh bagi memastikan ketepatan laporan dan penyata kewangan kerajaan persekutuan serta kecekapan sistem berintegrasi dengan sistem luar.

"Selain itu, JAN juga perlu mempertingkatkan pengurusan kontrak bagi menjamin kepentingan kerajaan serta membuat potongan LAD berdasarkan aliran tunai pembekal dan baki bayaran kemajuan bagi memastikan jumlah LAD dapat dipungut sepenuhnya oleh kerajaan," kata laporan itu.

-- BERNAMA