TUMPAT: Kerajaan Kelantan akan memastikan proses pemvaksinan COVID-19 kepada penduduk negeri itu selesai sepenuhnya sebelum musim tengkujuh yang dijangka bermula akhir Oktober ini, sekali gus mencapai sasaran untuk membentuk imuniti kelompok di negeri itu menjelang bulan sama.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata bagi mencapai matlamat itu, pemberian suntikan vaksin COVID-19 pada bulan depan akan diutamakan kepada penduduk di kawasan berisiko banjir antaranya di beberapa kawasan dalam Parlimen Tumpat.

Beliau berkata usaha itu juga bagi mengelakkan sebarang kesukaran yang akan dihadapi pihak berkuasa ketika menjalankan proses pemvaksinan di pusat pemberian vaksin (PPV).

"Apabila berlaku banjir, kita takut ia boleh menjejaskan proses pemberian vaksin seperti dos vaksin belum habis diberi tetapi penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara. Ini akan menjadi masalah," katanya.

Ahmad ditemui pemberita selepas meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kutan Tengah, Pasir Pekan, dekat sini hari ini.

Mengenai bekalan tambahan 550,000 dos vaksin COVID-19 yang akan diterima Kelantan bulan depan, beliau berkata pemberian suntikan itu akan turut diutamakan kepada penduduk di kawasan yang pernah dikenakan PKPD termasuk Kampung Kutan Tengah.

"Kita sudah menyusun melalui program 'outreach' dengan Pejabat Ahli Parlimen (Tumpat) serta pusat khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk kita beri keutamaan vaksinasi kepada penduduk di sini (Kampung Kutan Tengah), pada awal Julai nanti," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil di Pengkalan Kubor, di sini, dikenakan PKPD bermula 11 Jun hingga 24 Jun ini.

-- BERNAMA