KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membenarkan pengoperasian bazar Ramadan di seluruh negeri dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri mengambil kira kepentingan ekonomi penduduk setempat.

"SOP akan ditetapkan kemudian dan pihak berkuasa tempatan masing-masing akan membuat garis panduan mengenainya," katanya  kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri.

Dr Izani turut berkata program Madinah Ramadan iaitu solat tarawih di perkarangan bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV turut dibenarkan namun hanya dengan 500 jemaah berbanding kapasiti asal 1,300 orang.

“… untuk solat tarawih di masjid dan surau, kena tunggu keputusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan,” katanya.

-- BERNAM